Usai minggu peperiksaan semester 1 sesi 2009/2010, mahasiswa berasak pulang ke kampung halaman. Setelah kira-kira hampir 6 bulan bergelumang dengan pengajian, kini peluang untuk menikmati kasih sayang keluarga adalah peluang yang begitu berharga, ditambah pula dengan sambutan Eidul Adha bersama keluarga yang tidak akan dilepaskan.
Saban tahun kita menyambut Eidul Adha. Setiap individu memaksudkan sambutan Eid ini dengan cara yang berlainan. Ada yang menyambutnya sekadar sambutan adat sahaja, adat hari raya sebagaimana Eidul Fitr. Namun bagi yang menyambutnya dengan penuh penghayatan, pasti akan hadir suatu perasaan yang luarbiasa. Perasaan yang sangat sukar dipupuk dalam diri makhluk. Perasaan yang dinamakan Taqwa.
Alangkah mahalnya taqwa. Hal ini dapat kita dapati daripada mutiara orang-orang yang terdahulu daripada kita. Mari kita hayati dialog ini Ibn Mas'ud dan anak saudaranya tentang taqwa.
"Wahai anak saudaraku, apakah kamu lihat manusia, alangkah ramainya mereka."
"Wahai Ibn Mas'ud, tidak ada satu pun kebaikan bagi mereka kecuali bagi mereka yang bertaubat dan bertaqwa."
Dalam mengatakan tentang taqwa juga, Ubai bin Kaab dan Umar Al-Khattab masing-masing memberikan gambaran tentang taqwa dengan sangat berhikmah. Ketika Ubai bin Kaab ditanya oleh Umar tentang taqwa, maka beliau menjawab :
"Adakah engkau pernah melalui suatu jalan yang berduri?"
Jawab Umar, "Ya."
Kemudian Ubai bin Kaab bertanya lagi,
"Apakah yang engkau lakukan ketika melalui jalan tersebut?"
"Aku melangkah dengan berjaga-jaga dan berhati-hati."
"Begitulah taqwa."
Taqwa memberi kesan yang sangat mendalam dalam diri manusia. Taqwa, bukan sahaja 'takut' kepada Allah, tetapi lebih tepat menyintai Allah dengan seluruh jiwa raga, tanpa kebergantungan sedikit pun kepada makhluk. Taqwa, menerbitkan perasaan hanyut kerana terlalu cinta kepada-Nya hingga sanggup melakukan apa sahaja untuk Allah termaksud berkorban.
Pengorbanan harus difahami dalam erti kata yang sangat luas seperti yang disebutkan dalam Al-Quran. Berkorban jiwa, harta, keluarga, malah berkorban diri hanya semata-mata untuk Allah. Pengorbanan beserta ketaqwaan melahirkan hamba yang benar-benar hamba. Seperti hamba Allah, Nabi Ibrahim A.S misalnya, kisah pengorbanan baginda mengajarkan kita beberapa tips cinta hamba. Antaranya :
Ketaatan yang mutlak kepada Allah.
Membulatkan ketaqwaan kepada Allah dalam susah dan senang.
Keyakinan terhadap hikmah Allah dalam setiap taqdir.
Pengorbanan untuk mengejar redha Allah sebagai tiket ke syurga.
Semoga kita sama-sama memaksudkan sambutan Eid kali ini dengan penuh penghayatan, agar pengorbanan yang selama ini telah kita bulatkan untuk agama Allah diangkat sebagai amalan yang paling disukai Allah.
Salam Eidul Adha.