Jun 4, 2009

MUSLIMAT BERINTERGRITI , DA’IE KEPADA MASYARAKAT

UCAPAN TEMA MUKTAMAR TAHUNAN DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT KALI KE-49



Oleh : Ustazah Nuridah Mohd Salleh, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat

IFTITAH

Yang dikasihi Saudari Pengerusi Majlis,
Yang dihormati YB Ustaz Nasaruddin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS, selaku perasmi muktamar kita pada hari ini.

Yang Berbahagia pemerhati-pemerhati PAS Pusat bagi muktamar ini.
Yang diraikan seluruh para tetamu jemputan, yang terdiri daripada pimpinan-pimpinan wanita PAKATAN RAKYAT, YB-YB wanita PAKATAN RAKYAT, mantan-mantan Ketua DMPP, isteri-isteri pimpinan AJK PAS Pusat, veteran-veteran PAS, wakil-wakil media.

Yang dikasihi Timbalan Ketua DMPP beserta saf kepimpinan DMPP.
Yang dikasihi Ketua-Ketua DMP Negeri serta para perwakilannya dan seterusnya pemerhati-pemerhati yang dikasihi sekalian.

Tuan/Puan yang dikasihi sekalian,

Segala puja-puji bagi Allah Tuhan yang Maha Mengatur dan Menguruskan seluruh alam. Sesungguhnya dengan izin dan inayahNya jua kita dapat bertemu dalam Muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat kali ke 49 ini.

Kepada semua, saya mengalu-alukan kehadiran dan keterlibatan dalam menjayakan muktamar ini. Marilah kita bersama-sama menjadikan muktamar kali ini sebagai wadah kepada muslimat untuk menaiki mata tangga perjuangan yang lebih tinggi. Moga segala penilaian, teguran, pandangan dan idea-idea baru yang dijana akan membakar lebih marak api kemaraan muslimat di dalam perjuangan ini.

MENYEMARAK KEMENANGAN

Firman Allah s.w.t:
Maksudnya;
”Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), samada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui. at-Taubah: ayat 41.


Sidang muktamar yang dihormati sekalian,

Alhamdulillah kita memanjatkan kesyukuran kepada Allah Ya Malikul Mulk, Tuhan Yang Memiliki seluruh kerajaan di mukavbumi ini. Allah yang telah memberikan kekuasaan dan kerajaan kepada gabungan Pakatan Rakyat melalui pilihanraya baru-baru ini di negeri-negeri Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor serta seketika di Perak sebelum dirampas dengan rakus oleh Barisan Nasional dengan mengenepikan suara rakyat.

Sejarah telah melakarkan satu lagi keajaiban Allah s.w.t. yang mana gabungan Pakatan Rakyat merupakan parti-parti politik yang serba kekurangan telah dapat memenangi hati rakyat bagi membela nasib mereka dan menentukan halatuju serta masa depan negara. Jauh berbeza dengan gabungan Barisan Nasional yang tanpa segan silu menggunakan seluruh jentera kerajaan negeri dan pusat untuk kepentingan mereka bagi mempertahan kuasa.

Sesungguhnya fenomena ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa arus kehidupan rakyat yang semakin berubah dan matang, mahu memilih jalan hidup yang berteraskan kepada kebenaran dan keadilan sejagat yang sememangnya menjadi tuntutan Islam. Walaupun dicurahkan dengan segala bentuk kebendaan, ianya sudah tidak mampu memikat hati rakyat yang semakin sedar dan bimbang bahawa negara kita sedang menuju ke arah kehancuran.

Sidang muktamar yang dikasihi sekalian,

Secara sedar ataupun tidak, kita berhadapan dengan satu peradaban jahiliyyah yang berteraskan kapitalisma berdasarkan amalan riba’ dan segala rupa bentuk materialisma yang mengakibatkan berlakunya penindasan dan kezaliman. Satu peradaban yang dilihat sekarang telah menghasilkan kepincangan sistem kekeluargaan, pendidikan, ekonomi, sosial, dan perundangan. Ataupun boleh dikatakan seluruh sistem kehidupan sudah menampakkan tanda-tanda ke arah kehancuran.

Dalam keadaan kegusaran dan kebuntuan ini, kita lihat manusia mula tercari-cari jalan keluar dan mula mendekati Islam sebagai jalan penyelesaian kepada seluruh kepincangan dan kehancuran ini. Sememangnya Islam sebagai satu cara hidup telah pun menjanjikan kesejahteraan kepada kehidupan manusia sejagat.

Firman Allah s.w.t:
Maksudnya;
”Sesungguhnya Allah menyeru (manusia) ke tempat kediaman yang sentosa dan Dia sentiasa memberi petunjuk hidayahNya kepada manusia yang dikehendakiNya (menurut undang- undang dan peraturanNya) ke jalan yang betul dan lurus (yang selamat itu)” Yunus: ayat 25.


Oleh itu bermula dari kemelut ini, marilah kita bertekad untuk mengambil kesempatan yang datang ini untuk terus menyemarakkan kemenangan agar usaha-usaha dakwah dan pengislahan atau reformasi masyarakat dapat kita lakukan dengan lebih berkesan.

MENGUKUHKAN KESATUAN FIKRAH DAN AMAL

Sidang muktamar yang dikasihi sekalian,

Kita insafi bahawa kemenangan yang dianugerahkan Allah s.w.t. ini menuntut kita mengisinya dengan kebenaran dan keadilan Islam. Tuntutan perjuangan memerlukan kepada pengorbanan yang hebat. Juga keutuhannya memerlukan kesatuan fikrah dan amal yang jelas serta berterusan seperti ditunjukkan oleh para Nabi, Rasul dan seluruh pejuang Islam dahulu sehingga kini.

Usaha-usaha bagi mengukuhkan kesatuan fikrah dan amal adalah satu kemestian bagi jamaah Islam. Ianya dapat memastikan kesinambungan perjuangan dan tidak lari dari landasan sebenar. Muslimat PAS sendiri terdiri daripada pelbagai golongan termasuk ulama’, profesional, aktivis dan suri rumah yang menjadi ’grassroot’ kepada perjuangan ini.

Kepelbagaian latarbelakang muslimat ini merupakan pelengkap kepada kekurangan setiap pejuang yang akhirnya akan melahirkan satu saf muslimat yang dinamik umpama sebuah bangunan yang tersusun kukuh. Kejelasan aqidah dan prinsip perjuangan merupakan teras dan dasar kepada kepelbagaian ini. Justeru akhirnya akan membawa kepada kemantapan dan kecemerlangan.

Perbezaan pendapat dan pendekatan merupakan sifat kreativiti Allah Ya Musowwir dan Ya Khaliq. Allah s.w.t telah memberikan sifat tersebut kepada manusia agar manusia menjadi kreatif dalam usaha-usaha kembali kepada Allah s.w.t. dengan mengadun-jalin pelbagai idea dan pendekatan.

Firman Allah s.w.t;
Maksudnya:
”Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk agamaNya dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yanh tersusun kukuh.” As-Sof: ayat 4.

Oleh itu perbezaan-perbezaan yang wujud harus diterima sebagai kepelbagaian teknik dakwah yang harus merangkumi pelbagai jenis mad’u atau sasaran dakwah. Dewan Muslimat PAS sentiasa menerima dengan terbuka kepada sesiapa sahaja yang ingin menggabungkan diri dalam perjuangan ini dan bersedia menerima teguran, pandangan dan pendapat demi kecemerlangan perjuangan.

MUSLIMAT BERINTERGRITI DAN BERPERANAN SEBAGAI DA’I KEPADA MASYARAKAT

Bagi memastikan kesatuan yang kukuh di kalangan jentera muslimat, usaha-usaha ke arah melahirkan muslimat yang bercirikan kepada muhajidah, berilmu, beriman, beramal, bertaqwa, beristiqamah serta berperanan sebagai da’i pada masyarakat mestilah dipertingkatkan. Untuk itu, Dewan Muslimat PAS akan terus memberikan komitmen kepada usaha-usaha pembentukan kepimpinan dan amilin yang profesional melalui penubuhan akademi naqibah. Harapan kita ianya akan dapat mendidik dan melahirkan saf kepimpinan yang mampu memimpin wanita di semua peringkat, serta menjadi amilin yang mampu menyerahkan seluruh jiwa dan raga untuk perjuangan suci ini. Mudah-mudahan dengan itu kita para pendokong Muslimat akan termasuk di dalam golongan mereka yang berjual beli dengan Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t:
Maksudnya;
”Wahai orang-orang beriman, mahukah Aku tunjukkan perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu kamu beriman kepada Allah dan RasulNya serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu, yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenar).” as-Sof: ayat 10 – 11.

i. Peranan memantapkan akhlak masyarakat.

Sidang muktamar yang dikasihi sekalian,

Dewan Muslimat PAS di semua peringkat hendaklah sentiasa memberikan komitmen yang berterusan bagi membawa masyarakat kepada berkeperibadian dan akhlak yang tinggi dan terpuji. Muslimat adalah agen perubahan bagi kemantapan kehidupan masyarakat dalam semua aspek kehidupan. Sewajarnyalah berbekalkan dengan pentarbiyahan tenaga para dai’ dari kalangan muslimat ini serta kesatuan fikrah berupaya menarik minat masyarakat ke arah matlamat yang diidamkan.

Muslimat menekankan akhlak terpuji di dalam semua aspek kehidupan termasuk aspek ekonomi, pendidikan, kekeluargaan, perundangan, kesenian, sukan dan sebagainya. Akhlak terpuji yang dibawa oleh Islam ini adalah seperti nilai-nilai jujur, amanah, bertanggungjawab, hormat menghormati, bantu-membantu, prihatin dan seumpamanya. Sifat-sifat ini telah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. adalah merupakan keperluan manusia sejagat.

Firman Allah s.w.t;
Maksudnya:
”Dan tidaklah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” al-Anbia: ayat 107.

Begitu juga seluruh manusia menolak keperibadian buruk yang akan merosakkan kehidupan seperti rasuah, penyelewengan, amalan riba’, mementingkan diri sendiri, kezaliman, penindasan dan seumpamanya.

ii. Peranan mengembalikan masyarakat Islam sebagai pendokong kepada ajaran Islam yang syumul.

Di dalam usaha-usaha kita membina masyarakat berakhlak, Dewan Muslimat PAS ingin menegaskan bahawa ummat Islamlah sewajarnya menjadi contoh teladan kepada masyarakat keseluruhannya. Tanggungjawab ini terpikul berat ke atas bahu Muslimat PAS. Muslimat PAS harus berbeza dengan wanita yang tidak menjalani proses tarbiyah yang lain. Jika tidak akan jadilah keadaan sebagaimana perumpamaan yang menggambarkan keadaan ”ketam yang menyuruh anaknya berjalan betul”.

Islam telah diturunkan sebagai satu cara hidup yang merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia. Ummat Islam mesti kembali kepada cara hidup Islam dan meninggalkan cara hidup jahiliyyah yang dibawa oleh penjajah. Cara hidup yang kuat dipengaruhi oleh penjajah ini telah menyempitkan Islam sebagai hanya satu agama ritual dan telah diwarisi serta membelenggu ummat Islam hingga kini.

Ummat Islam harus mengembalikan sistem perundangan Islam, pendidikan Islam, perubatan Islam, kekeluargaan Islam, ekonomi Islam, kesenian Islam dan sistem kerjaya yang berlandaskan Islam. Kembali kepada satu sitem hidup Islam sebagai ad-Deen - ”Islam as a way of life” satu kehidupan yang diredai oleh Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t:
Maksudnya:
”Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya dan jangan kamu menurut jejak langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.” al-Baqarah : ayat 208.


Dewan Muslimat melalui program penerangan, kebajikan, perundangan akan terus memberikan komitmen yang sangat tinggi bagi membawa masyarakat Islam khususnya di Malaysia ini kembali kepada cara hidup Islam dalam semua aspek kehidupan. Tidak lupa juga kita mendokong usaha-usaha Nisa’ memperkenalkan dan memikat para remaja kita ke arah cara hidup Islam yang syumul.

iii. Peranan membawa masyarakat keluar daripada kemelut kehancuran institusi keluarga

Sidang muktamar yang dikasihi sekalian,

Dewan Muslimat PAS sangat prihatin terhadap masalah yang menimpa institusi keluarga khususnya umat Islam. Kadar perceraian yang tinggi dan sangat mencemaskan menunjukkan penyakit yang kronik sedang menimpa institusi keluarga.

Dewan Muslimat ingin menegaskan bahawa institusi keluarga mestilah kembali kepada peranannya yang asal iaitu melahirkan dan membina ummat yang memperjuangkan kehidupan yang diredai oleh Allah s.w.t. Hari ini kita dapati matlamat perkahwinan bukan lagi untuk membina keluarga yang menjadi batu-bata masyarakat yang kukuh. Malang sekali ianya seolah-olah telah menjadi tempat dimana dunia dan wang ringgit menjadi matlamat sehingga melupakan tanggungjawab isteri, suami untuk memberi kasih sayang dan mendidik anak-anak.

Kekusutan hubungan suami isteri yang sangat mencemaskan ini, akhirnya membawa kesan negatif kepada anak-anak. Akibatnya anak-anak terabai dan membawa mereka kepada gejala sosial yang melalai dan merosakkan mereka.

Menyedari akan hakikat ini, Dewan Muslimat perlulah mengembelingkan tenaga bagi membuat program-program kesedaran dan pengisian rohani bagi membawa mereka kembali kepada fitrahnya yang asal dan akhirnya akan membawa kepada keharmonian rumahtangga.

MENGUBAH MINDA WANITA MALAYSIA KE ARAH KECEMERLANGAN UMMAH

Sidang muktamar yang dikasihi sekalian,

Wanita Malaysia perlulah dibawa ke arah mencapai kecemerlangan dunia dan akhirat. Sebahagian mereka perlu mengubah minda sedia ada yang selama ini dibelenggu dengan pelbagai kepercayaan dan prinsip yang negatif, akibatnya mereka mundur dari segala aspek.

Kekurangan ilmu tentang kehidupan termasuk perundangan, hak-hak wanita, pendidikan dan ekonomi menjadikan masih ramai wanita Malaysia hari ini hanya mampu mengikut arus dan tidak mampu berfikiran kritis, proaktif dan inovatif. Usaha - usaha perlu kita lakukan bagi membawa wanita kepada kecemerlangan serta mampu memilih yang benar dan yang salah. Tegas Allah s.w.t pada firmanNya;

Maksudnya:
”Katakanlah adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.” az-Zumar : ayat 9.

Pemikiran negatif yang berpada dalam ”zon selesa”, takut untuk mencuba perkara baru, takut gagal, takut mengambil risiko dan tidak mampu menempuh ujian dan dugaan dengan penuh ketabahan menjadikan ramai kaum wanita Malaysia khususnya wanita Melayu hanya menjadi pengguna, tetapi tidak mampu mencipta produk baru dan pendekatan baru. Masalah ini ditambah lagi dengan sikap malas, suka mencari jalan pintas, suka bergantung kepada orang lain dan tidak mahu berusaha. Akhirnya masih ramai wanita-wanita ini tertipu dengan pelbagai tipu - daya skim cepat kaya dan seumpamanya.

Oleh itu, Dewan Muslimat perlulah memberikan komitmen yang tinggi melalui pelbagai program penerangan. Sasarannya adalah termasuk wanita bandar, luar bandar, warga emas khususnya wanita Melayu. Usaha-usaha ini bagi mengubah minda mereka daripada berfikiran negatif dan statik kepada pemikiran positif dan dinamik yang akan menggerakkan perubahan di dalam masyarakat.

MENGUASAI POLITIK NEGARA DENGAN KESYUMULAN ISLAM

Politik negara kita hari ini telah dicemari dengan pelbagai amalan rasuah, penyelewengan dan ketidakadilan. Ramai ahli-ahli politik di negara ini telah dilabelkan oleh sebahagian besar rakyat sebagai perompak harta negara, yang mana mereka menggunakan kedudukan dan kuasa untuk mendapatkan keuntungan dan wang ringgit bagi kepentingan diri. Kesibukan mencari ruang-ruang kepentingan diri menyebabkan kurangnya masa untuk memikirkan pembangunan negara dan kepentingan rakyat. Sekiranya ada yang mengkritik dan membangkang, maka pelbagai tindakan politik akan dikenakan sehingga ramai yang terpaksa berdiam diri walaupun nampak penyelewengan yang jelas di depan mata mereka.

Namun begitu, PAS dan parti-parti rakan dalam gabungan Pakatan Rakyat tidak pernah gentar dengan ugutan dan tindakan mereka. Kebenaran dan keadilan terus dilaungkan dan ditegakkan. Dewan Muslimat ingin menegaskan kepada semua aktivitis PAS dan Pakatan Rakyat bahawa kami sentiasa memberikan sokongan padu dan akan terus bersama walau apa dugaan sekalipun yang akan mendatang.

Dewan Muslimat akan bersama menyumbangkan usaha – usaha yang telah dirancang oleh PAS Pusat dalam agenda membawa ciri-ciri Islamiyah dalam berpolitik dan bernegara. Sesungguhnya kesyumulan Islam hanya dapat dinikmati melalui amal yang berterusan bukan sekadar retorik sahaja. Jika tidak terjadilah suasana seperti UMNO yang mengagungkan Islam sebagai satu tamadun lampau yang dapat dilihat kesyumulannya hanya pada lipatan sejarah dan juga pada lembaran kertas kitab-kitab yang tersusun baik di perpustakaan.

i. Peranan muslimat dalam penggubalan undang - undang dan hala tuju negara

Dewan Muslimat PAS tidak ketinggalan memainkan peranan dalam penggubalan undang-undang negara. Muslimat yang diwakili oleh beberapa orang tokoh Muslimat yang menjadi Ahli Dewan Negara (Senator), Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang terus menerus memperjuangkan kebenaran dan keadilan, membela mereka yang tertindas serta mereka yang menjadi mangsa politik Barisan Nasional.

Peranan muslimat dalam menentukan hala tuju negara akan semakin terserlah dengan lahirnya tokoh-tokoh muslimat di kalangan pengamal undang-undang, pengamal perubatan, ahli-ahli akademik, ahli-ahli perniagaan dan pemimpin masyarakat. Dewan Muslimat mengambil kesempatan ini mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua cendikiawan muslimat yang sanggup mengorbankan status dan jawatan mereka demi perjuangan.

ii. Menyokong konsep kerjasama politik yang diputuskan oleh kepimpinan PAS

Dewan Muslimat juga menyokong sepenuhnya setiap keputusan Majlis Syura Ulama’ dalam menangani cabaran politik tanah air seperti konsep Tahaluf Siyasi dan sebagainya. Dewan Muslimat sangat menghargai semangat kerjasama yang ditunjukkan oleh rakan-rakan daripada parti-parti PKR dan DAP yang menghormati Islam yang diperjuangkan oleh PAS. Harapan kita persefahaman dan semangat setia kawan ini dalam gabungan Pakatan Rakyat dapat diperkukuhkan lagi.

Dewan Muslimat juga sangat menghargai sumbangan ahli-ahli Kelab Penyokong PAS yang telah banyak membantu PAS terutama di dalam pilihanraya-pilihanraya kecil. Sokongan padu mereka ini membuktikan PAS telah mampu menunjukkan keperibadian yang dapat diterima oleh semua pihak termasuk dari kalangan bukan Islam.

MEMBINA GENERASI PELAPIS NEGARA

Sidang muktamar yang dikasihi sekalian,

Sedarilah bahawa terlalu ramai para remaja telah rosak aqidahnya, yang memerlukan sumbangan kita untuk membawa mereka kembali kepada fitrah asal sebagai seorang hamba Allah s.w.t. Banyak pihak hari ini lalai dan leka tidak menyedari akan perancangan musuh Islam yang menyerang secara gerak saraf dengan menghantar hiburan, pelbagai jenis dadah yang merbahaya dan merosakkan kesihatan, arak, budaya rempit, lepak dan sebagainya sebagai senjata bagi menghancur masa depan generasi muda kita.

Malah mereka yang dihantar untuk pemulihan ke pusat-pusat serenti semakin bertambah dari hari ke hari. Agenda pemulihan ini amatlah sukar dan kurang berkesan serta memakan belanja yang sangat besar. Sesungguhnya cara Islam yang mengutamakan pencegahan adalah lebih berkesan dan terjamin kejayaannya.

Proses kehancuran ini dipercepatkan lagi dengan internet yang telah disalahgunakan untuk menyebarkan bahan-bahan lucah dan perkara-perkara mungkar. Pihak yang bertuhankan wang ringgit ini telah menggadaikan masa depan generasi muda demi kepentingan mereka sendiri.

i. Peranan muslimat dan NISA dalam membawa remaja keluar daripada kemelut masalah sosial melalui pelbagai strategi

Dewan Muslimat bersama Nisa’ sentiasa memberikan komitmen yang tinggi bagi mendekati para remaja bagi memujuk mereka kembali kepada cara hidup Islam. Nisa’ telah mula memantapkan jenteranya melalui pelbagai unit yang sesuai dengan jiwa remaja termasuk unit dakwah, kaunseling, kebudayaan dan sukan bagi menyediakan diri sebagai rujukan kepada para remaja yang bermasalah dan kehilangan panduan hidup.

ii. Membantu membina pemimpin masa depan dengan memperkasa keupayaan mahasiswa

Dewan Muslimat PAS juga menyedari akan fungsi cendikiawan muda terutama dari kalangan mahasiswa yang seharusnya memainkan peranan penting di dalam membawa para remaja kembali kepada Islam. Keupayaan minda dan intelek yang dikurniakan Allah s.w.t harus digunakan untuk memikirkan pelbagai pendekatan dan teknik bagi menarik kembali mereka yang telah terpesong ke jalan yang lurus.

Dewan Muslimat PAS juga mendesak pemansuhan akta AUKU yang telah mematikan sifat kritis dan kreativiti mahasiswa yang akhirnya melahirkan ramai mahasiswa yang jumud, beku dan tidak prihatin terhadap segala permaslahan masyarakatnya. Dewan Muslimat PAS sentiasa memberi komitmen untuk membawa mahasiswa kepada hala tuju yang sebenar iaitu sebagai pemimpin masa depan yang akan menggunakan seluruh kekuatan intelek yang dikurnia Allah s..w.t bagi merancang masa depan negara. Seterusnya memainkan peranan membawa negara ke arah kecemerlangan dunia dan akhirat.

PENGHARGAAN KEPADA SOKONGAN GENERASI MUDA YANG SANGAT MEMBERANGSANGKAN

Dewan Muslimat PAS merasa sangat terharu dengan perubahan yang ditunjukkan oleh generasi muda di dalam beberapa pilihanraya-pilihanraya kecil baru-baru ini. Walaupun dalam keadaan keperibadian yang tidak sepenuhnya Islam, mereka masih yakin untuk menerima PAS sebagai satu wadah untuk mengubah nasib mereka.

Ini menunjukkan generasi muda sudah sedar akan kerosakan dan kehancuran yang sedang mereka alami dan ingin kembali ke pangkal jalan bersama-sama dengan PAS dalam gabungan Pakatan Rakyat. Dewan Muslimat PAS ingin merakamkan jutaan terima kasih di atas sokongan yang padu yang diberikan oleh generasi muda hari ini. Marilah sama-sama kita berganding bahu melakukan sesuatu untuk memberi kesedaran kepada semua generasi muda di Malaysia ini dan membawa mereka kembali ke jalan fitrah asal mereka.

MENGUKUHKAN HUBUNGAN MUSLIMAT DAN MASYARAKAT DENGAN MEMPERGIATKAN AGENDA KEBAJIKAN

Sidang muktamar yang dikasihi sekalian,

Di dalam kemajuan negara yang dibanggakan oleh kerajaan BN, sebenarnya masih ramai lagi rakyat yang dhaif, tertindas, teraniaya dan yang tidak cukup keperluan hidup dan masih memerlukan bantuan. Perbezaan antara golongan kaya dan miskin sudah mulai menampakkan jurang yang sangat besar. Ini adalah kerana sistem zakat kerajaan BN hari ini tidak mampu melaksanakan fungsinya secara berkesan. Ditambah lagi dengan situasi ekonomi berasaskan kapitalisma dan materialisma yang semakin lumpuh, bilangan rakyat miskin akan meningkat hari demi hari.

Dewan Muslimat PAS juga menyedari bahawa rakyat negara ini bukan sahaja miskin harta, tetapi juga miskin agama. Jentera kerajaan BN yang ditugaskan memberi ilmu agama kepada rakyat tidak mampu melaksanakan tugasnya dengan baik. Islam hadhari yang diperjuangkan kerajaan BN tidak menampakkan sebarang kesan dalam membawa rakyat kembali kepada Islam sebagai satu cara hidup.

MEWUJUDKAN PUSAT KHIDMAT BERSEPADU (ONE STOP CENTER)

Menyedari akan situasi rakyat yang semakin kronik, Dewan Muslimat PAS telah memberi komitmen yang tinggi selama ini terutama bersama negeri-negeri Pakatan Rakyat dan NGO yang memperjuangkan kebajikan rakyat dalam membantu golongan miskin, tertindas, teraniaya dan kurang upaya mengikut keupayaan yang diberikan oleh Allah s.w.t.

Dewan Muslimat juga sedang berusaha untuk menubuhkan Pusat Khidmat Bersepadu (One stop center) di semua peringkat bagi membolehkan masyarakat berbilang kaum datang untuk mendapatkan pelbagai khidmat mengikut kemampuan PAS.

KETRAMPILAN MUSLIMAT SEBAGAI RUJUKAN MASYARAKAT

Bagi memberikan pelbagai perkhidmatan alternatif kepada masyarakat, sudah tentulah Muslimat harus menyediakan jentera kebajikan yang ramai dan berkebolehan serta mempunyai ketrampilan bagi membolehkan muslimat menjuarai kerja-kerja kebajikan dan pembelaan. Oleh itu Dewan Muslimat PAS menyeru kepada semua ahli muslimat agar menyediakan diri dengan pelbagai kebolehan dan kemahiran agar kita boleh memberi sumbangan melalui pusat khidmat ini.

Dalam masa yang sama, Dewan Muslimat juga menyeru seluruh muslimat yang bekerjaya yang mempunyai ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam pelbagai bidang untuk turun padang bersama seluruh jentera muslimat bagi menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

PAS FOR ALL’ MEMPERTEGASKAN PAS SEBAGAI WADAH PILIHAN UMMAH

Sidang muktamar yang dikasihi sekalian,

Alhamdulillah, agenda ’PAS FOR ALL’ telah banyak menarik minat pelbagai golongan untuk mendekati PAS. Walaupun selama ini PAS sememangnya sentiasa bersikap terbuka, namun dengan penekanan ini, PAS telah mampu dilihat sebagai wadah pilihan untuk pelbagai golongan dan kaum bagi memperjuangkan hak masing-masing.

Sifat keterbukaan, kerendahan hati dan keikhlasan pemimpin dan ahli-ahli PAS telah mampu meningkatkan kepercayaan pelbagai golongan untuk menjadikan PAS sebagai wadah perjuangan pilihan mereka.

Dewan Muslimat PAS bersama dengan seluruh jentera PAS dalam kerajaan Pakatan Rakyat berusaha untuk memberikan komitmen yang tinggi dalam menunaikan hasrat ahli-ahli Kelab Penyokong PAS khususnya dan seluruh rakyat yang memerlukan bantuan.

MANSUHKAN AKTA RIMBA ISA

Dewan Muslimat mengulangi ketegasan bahawa akta rimba ISA ini mesti dimansuhkan segera. Kami amat bersimpati di atas penderitaan yang terpaksa ditanggung oleh isteri-isteri dan keluarga mangsa ISA. Mereka yang tidak berdosa ini tersepit dan dizalimi oleh tindakan zalim kerajaan yang memenjarakan suami-suami mereka tanpa bicara dan tanpa peluang membela diri di mahkamah terbuka. Sesungguhnya tiada penjara tanpa bicara dalam Islam. Keadilan Islam memberikan hak kepada yang dituduh untuk membela diri.

Firman Allah s.w.t;
Maksudnya:
”Wahai orang-orang yang beriman jadilah kamu orang yang benar-benar penegak keadilan, menjadi saksi kerana Allah biarpun terhadap dirimu sendiri atau ibu-bapa dan kaum kerabatmu, jika ia kaya ataupun miskin, maka Allah lebih tahu akan kemaslahatannya, maka janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ingin menyimpang dari kebenaran, dan jika kamu memutar balikkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi, maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui segala apa yang kamu kerjakan.” an-Nisa’ : ayat 135.

MEMPERTAHANKAN KEMENANGAN DI MANEK URAI

Kita melihat senario yang amat ganjil sekarang dimana BN yang diterajui oleh UMNO begitu ”phobia” dalam menghadapi pilihanraya kecil di Malaysia. Terutamanya di kawasan dimana kedudukan Pakatan Rakyat adalah kuat dan dapat menyaingi BN.

Berbagai helah akan dicari dengan memperalatkan SPR dan menggunakan mahkamah untuk mengelak berlakunya pilihanraya kecil. Sehingga kini dengan izin Allah s.w.t. BN telah kalah berturut-turut di Permatang Pauh, Kuala Trengganu, Bukit Selambau dan Bukit Gantang dengan majoriti yang besar.

Sesungguhnya mereka merancang dan Allah s.w.t juga merancang. Akhirnya BN menarik diri dari bertanding di Penanti. Setelah dengan rakus merampas kerajaan Perak, kini BN terdesak dan mencari helah supaya tidak berlaku pilihanraya kecil di seluruh negeri Perak. Kita tetap mengulangi desakan rakyat agar mereka diberikan hak memilih kerajaan Perak yang mereka inginkan. Tiada pilihan lain bagi penyelesaian kemelut di Perak hanyalah sebaik-baiknya mengada pilhanraya bagi rakyat memilih kerajaan yang mereka yakin dan sokong sepenuhnya.

Kini kita diuji pula dengan kekosongan di DUN Manek Urai, Kelantan. Walaupun dikatakan bahawa Manek Urai adalah kubu kuat PAS, tetapi kita mestilah bersiap siaga bagi mempertahankannya.

Muslimat akan mempertingkat usaha-usaha ke arah mencapai kejayaan yang cemerlang di Manek Urai. Tidak lupa juga doa dan munajat yang berterusan dipohonkan terhadap Allah s.w.t agar kemenangan berpihak kepada kita.

PENUTUP

Marilah kita meneguhkan parti kita dengan ciri-ciri Islamiyah ke arah penghayatan Islam yang syumul dalam mentadbir dan mempertahankan negeri-negeri Pakatan Rakyat. Usaha-usaha mengekal keyakinan serta melipat gandakan sokongan rakyat bukan Islam yang kita dapat selama ini, mestilah dipergiatkan. Seharusnya Kelab Penyokong PAS diberikan peranan yang lebih besar bagi meraih dan mengekalkan sokongan mereka terhadap parti kita.

Marilah kita memohon kepada Allah s.w.t agar melempahkan rahmat dan keampunanNya kepada kita dan saudara - saudara kita yang telah mendahului kita menemuiNya.

Akhir sekali, marilah kita dengan segala rendah hati memohon agar Allah s.w.t memberkati Muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat kali ke 49 ini, supaya berjaya menjana rumusan dan tindakan susulan yang matang. Saya mengajak Muslimat sekalian bersama-sama melaksanakan aspirasi MUKTAMAR DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT KALI KE-49 ini dengan tema: ”MENYEMARAK KEMENANGAN, MENYATU RAKYAT”

Sekian. Wabillahi taufiq wal hidayah.
Wasalamu’alaykum warahmatullahi wa barakaatuh.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar.

May 26, 2009

gender dan wanita : politik serta kepimpinan

Gerakan feminisme di Malaysia sangat dipengaruhi oleh gerakan feminisme Barat yang lebih bermotifkan reformasi sosial dan politik golongan wanita. Gerakan ini mengeksploitasi pelbagai bentuk isu dalam masyarakat khususnya yang melibatkan wanita seperti isu kesetaraan gender, diskriminasi, poligami, pekerjaan, keadilan sosial dan sebagainya. Mereka menjadikan isu kesamarataan jantina sebagai asas perjuangan mereka.

Oleh kerana itu, bagi mereka, untuk menyelesa
ikan permasalahan yang dihadapi masyarakat, perlu wujud kesetaraan peranan antara wanita dan lelaki dalam segala bidang termasuk politik.

Peranan wanita Malay
sia dalam bidang politik dilihat bermula dengan Halimaton Saadiah yang bertanding dalam pilihan raya Persekutuan Tanah Melayu yang pertama pada tahun 1955. Pelantikan Fatimah Haji Hashim sebagai Menteri Kebajikan Am pada 20 Mei 1969 semakin menyemarakkan penglibatan wanita dalam politik negara. Beliau yang memegang jawatan menteri dari tahun 1969 sehingga tahun 1973 merupakan satu-satunya menteri wanita pada masa itu. Setelah masa beliau, jumlah wanita dalam parlimen semakin meningkat. Bagaimanapun, penglibatan kedua-dua tokoh wanita di atas dalam pilihan raya telah menjadi pemangkin bagi para wanita untuk mengikuti jejak langkahnya dari masa ke semasa hinggalah ke pilihan raya tahun lepas. Wanita Malaysia terus melakar sejarah setelah berjaya merebut 24 kerusi parlimen dalam Pilihanraya Umum 8 Mac 2008 yang merupakan 10.81 % daripada 222 jumlah kerusi parlimen yang dipertandingkan, manakala sejumlah 40 kerusi dewan undangan negeri (DUN) atau 7.92% dari 505 kerusi DUN telah berjaya ditawan.

Meskipun jumlah wanita yang berjaya menembusi tembok Parlimen belum memenuhi kuota minima 30% seperti yang diharapkan, The Joint Action Group for Gender Equality (JAG) percaya bahawa dalam jangka masa 7 tahun lagi, sasaran 30% jumlah wanita sebagai ahli parlimen akan dapat dicapai. Mereka merasa yakin kerana pada masa kini setengah dari jumlah pemilih adalah wanita selain dari ramainya calon wanita yang bertanding dalam pilihan raya tahun lepas. Bagaimanapun, mereka sangat menekankan bahawa dengan ramainya wanita dalam Parlimen, masalah yang dihadapi masyarakat, khususnya yang melanda kaum hawa akan dapat diselesaikan.

Apa yang mereka perjuangkan sebenarnya amat penting untuk kita persoalkan. Benarkah dengan bertambahnya jumlah wanita di parlimen, masalah wanita akan dapat di selesaikan?

Mungkin kita perlu merenung dengan m
endalam kisah yang terjadi di Argentina. Di negara Amerika Latin ini, jumlah wanita yang berada di Kongres Kebangsaan (National Congress) telah mencapai 40% tapi masalah wanita tetap tidak dapat diselesaikan. Kaji selidik yang dijalankan oleh The National Women's Council (Consejo Nacional de la Mujer, CNM) menerusi sebuah artikel yang terdapat di akhbar online iaitu Minuto Uno mengatakan bahawa setiap seorang dari tiga wanita Argentina telah mengalami penderitaan fizikal, psikologi, seksual dan keganasan ekonomi di dalam rumah. Selain itu, di wilayah Buenos Aires, 70 peratus daripada 9,000 hingga 11,000 panggilan kecemasan setiap tahun adalah panggilan yang berkaitan dengan kekerasan jantina [La Nación 3 Dec. 2007; El Siglo 29 Sept. 2007]. Ini merupakan salah satu bukti bahawa banyaknya jumlah wanita di Parlimen tidak menjamin permasalahan yang dialami kaum ini dapat diatasi.

Apa yang terjadi di Argentina sebenarnya adalah sesuatu yang perlu kita fikirkan.

Benarkah masalah yang dihadapi wanita adalah masalah gender (ketidak setaraan gender antara lelaki dan wanita)...?

Seandainya ini adalah benar, mengapa dengan ramainya jumlah lelaki di parlimen permasalahan yang dihadapi lelaki masih juga melimpah...?

Ini adalah kerana dari segi faktanya, sebahagian besar pencuri, pemerkosa, perompak dan penganggur adalah lelaki. Jadi, bagaimana atau ap
akah kesetaraan gender antara lelaki dan wanita yang sebenar...?

Perlukah wanita memimpin lelaki atau sebaliknya...?

Juga, apakah sebenarnya peranan wanita dalam politik....?

Kesetaraan gender yang dibawa oleh golongan feminis ini sama sekali tidak ada dalam Islam. Idea ini muncul di Barat pada masa pencerahan (enlightenment era) ketika para wanita bangkit untuk menuntut hak
-hak mereka. Ini terjadi kerana sebelum masa pencerahan, iaitu di zaman gelap (dark ages), para agamawan yang mengatasnamakan Tuhan telah mendominasi sistem di dalam masyarakat dengan tidak memberikan hak kepada wanita untuk terlibat dalam urusan umum seperti menuntut ilmu, bekerja di luar ataupun berpolitik. Bahkan yang paling ekstrem, keberadaan perempuan pun masih dipertikai: apakah mereka makhluk atau bukan? Amat memilukan kerana pada masa itu, wanita Eropah benar-benar telah kehilangan kemuliaannya.

Kesetaraan (equality) dalam perspektif Islam



Kondi
si yang dialami para wanita di Barat sangat berbeza dengan yang dihadapi oleh para Muslimah di dunia Islam. Dalam dunia Islam, para wanita diperlakukan dan dilayani sebagai manusia, iaitu mereka (wanita) dan lelaki adalah makhluk Allah. Selain itu, dalam dunia umum, wanita diberi kesempatan dan peluang untuk menimba ilmu dan berpolitik. Hal ini dapat kita lihat pada masa Rasulullah s.a.w dan Umar bin Al-Khatab r.a, yang mana Nabi s.a.w mengajarkan Al-Quran kepada kaum wanita dan juga menerima baiat dari dua orang perempuan pada masa Baiat Al-Aqabah II. Selain itu, pada masa Umar bin Al-Khattab r.a ada seorang wanita yang menegur Umar kerana ingin menetapkan jumlah mahar perkahwinan.

Akan tetapi dari semua kesetaraan yang ada, kesamaan yang paling mendesak yang perlu kita sedari adalah adanya persamaan hak dan kewajiban untuk bertakwa kepada Allah
s.w.t.

Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam” [TMQ Ali-Imran:102].

Allah
s.w.t tidak membezakan kemuliaan seseorang berdasarkan jenis kelaminnya tetapi menjadikan ketakwaan sebagai tolok ukur atau ‘standard’ kemuliaan seseorang. Jadi, inilah persamaan yang semestinya para wanita perjuangkan.

Persamaan untuk menerapkan syariat Islam, untuk menjadi manusia yang bertakwa, serta manusia yang mulia di dunia dan akhirat.

Justeru, seandainya wujud perbezaan peranan dan cara mengatur urusan wanita dalam Islam, itu bukanlah suatu masalah kerana yang menentukannya adalah Sang Pencipta kepada
lelaki dan perempuan iaitu Allah S.W.T. Jadi, apa pun peranan yang Allah berikan, pasti akan mendapatkan pahala di sisi-Nya. Di sini kita boleh menilai bahawa keadilan di dalam Islam adalah adanya kesamaan hak dan kewajiban untuk melakukan ibadah. Akan tetapi dalam hal peranannya, adil bukan bererti sama tetapi (adil) adalah menempatkan segala sesuatu sesuai dengan tempatnya. Alhamdulillah, untuk menghindari perdebatan di antara manusia, Allah menjadikan penentuan peranan antara lelaki dan wanita sebagai hak Nya


Politik Wanita dalam Pandangan Islam


Sebelum melanjutkan pada pembahasan politik perempuan dalam pandangan Islam, perlu diketahui bahawa politik dalam Islam sangat berbeza dengan politik dalam pandangan sekularisme.

Tujuan berpolitik dalam Islam bukanlah untuk meraih kekuasaan seperti yang terjadi pada masa kini sebaliknya tujuan politik adalah ‘ria’yah asy-syu’un al-ummah’ (mengatur urusan umat). Mengatur urusan umat bererti menjamin seluruh permasalahan umat diselesaikan dengan aturan Allah.
Jadi, kemampuan berpolitik bukan hanya menjadi hak dan kewajiban para penguasa, malah seluruh umat Islam, termasuk kaum wanita.

Sayangnya hal ini tidak disedari oleh sebahagian besar umat Islam, menyebabkan mereka terjebak dalam sistem demokrasi yang membawa bencana pada diri mereka sendiri. Tidak ketinggalan dengan para Muslimahnya yang mana atas nama demokrasi, mereka menuntut hak untuk duduk di Parlimen, seterusnya menggubal undang-undang yang dapat “menguntungkan” kaum perempuan. Padahal, seharusnya mereka tahu bahawa pada hakikatnya, siapa pun yang menduduki kerusi parlimen adalah manusia-manusia yang ingin mensejajarkan dirinya dengan Allah s.w.t dalam membuat hukum. Dengan hanya berusaha meraih suara majoriti, mereka dengan berani membuat hukum yang akan diterapkan, walhal hak membuat hukum itu hanyalah pada Allah. Padahal kepada siapa mereka akan kembali dan kepada siapa mereka akan mempertanggungjawabkan semua perbuatan mereka kalau bukan kepada Allah s.w.t, yang telah menciptakan mereka.

Kewajiban berpolitik sebenarnya merupakan sebahagian dari dakwah Islam. Islam mewajibkan seluruh kaum Muslim sama ada lelaki mahupun wanita untuk berdakwah mengajak kepada yang maaruf dan menjauhi yang mungkar. Amar maaruf nahi mungkar ini bermaksud menyeru untuk bertakwa kepada Allah Subhanahu wa Taala dengan menerapkan seluruh hukum syariat-Nya.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.” [TMQ Ali-Imran (3):104].


Perlu kita ketahui, ayat ini diturunkan di Madinah yang merupakan negara Islam dan hukum-hukum yang diturunkan di Madinah bukan hanya mengatur bagaimana cara beribadah kepada Allah s.w.t sahaja, tetapi juga yang mengatur sistem kehidupan. Pada saat itu, hukum-hukum yang mengatur masyarakat seperti sistem kewangan (dinar-dirham), politik luar negara, uqubat, sistem ekonomi, sistem kewangan, pemerintahan dan pendidikan telah diturunkan. Oleh kerana itu, agar kaum Muslimin dapat menjalankan kewajipannya untuk melakukan amar maaruf nahi mungkar mereka harus memiliki kesedaran berpolitik. Oleh yang demikian, sama ada lelaki mahupun wanita, mereka mempunyai hak yang sama untuk berdakwah amar maaruf nahi mungkar.

Dalam hal ini juga, kita mestilah membezakan persoalan pembabitan wanita di dalam politik dengan pembabitan wanita di dalam pemerintahan. Seorang Muslimah dibolehkan, malah diwajibkan berpolitik, namun diharamkan menjadi pemerintah atau apa jua jawatan yang terkait dengan pemerintahan.



Lelaki dan wanita dalam Islam memiliki hak dan kewajipan yang sama untuk bertakwa kepada Allah s.w.t. Kebahagiaan yang mereka capai juga sama iaitu menggapai keredhaan Allah s.w.t Tujuan hidup inilah yang semestinya menjadikan lelaki dan wanita menerima segala peranan yang telah ditetapkan oleh Al-Khaliq. Pada saat dan ketika ini, menegakkan kembali Khilafah sebagai sebuah institusi yang menerapkan dan menjaga syariat Islam adalah merupakan satu kewajipan untuk seluruh umat Islam sama ada lelaki mahupun wanita. Di sinilah sebenarnya ruang yang diberikan Allah s.w.t kepada wanita untuk terlibat dan terjun ke dalam dunia politik.

Wallahu ‘alam


Apr 11, 2009

Perjuangan 'EXAM'

Alhamdulillah, semester ini semakin dipenghujungnya. Mahasiswa UM semakin merasai bahang final exam yang akan menjelma dalam seminggu sahaja lagi. Fikiran masing-masing mula tertumpu kepada buku-buku, meja study, nota-nota ringkasan dan sebagainya. Manakala surau mulai penuh dengan solat hajat, zikir2 dan seumpamanya. Fenomena-fenomena yang digambarkan saban tahun berlaku dan kadangkala sedar tak sedar begitulah fitrah hidup seorang manusia selaku hamba kepada Penciptanya. Walau jauh pun berlari, namun saat kesusahan dirasakan tetapkan kembali kepada Allah swt.

Namun, peperiksaan bukan sebab untuk kita mengenepikan gerak kerja dakwah Islam. Ilmu dan dakwah bukan di takuk yang berbeza. Tiada sampingan antara keduanya, dan yang penting sekali selaku mahasiswa yang menjadi 'check and balance' dalam masyarakat perlu terus peka dengan keadaan semasa yang berlaku pada hari ini.

Untuk pesanan ringkas dari saya... Semoga kita bersama-sama diberi kelancaran untuk menjawab soalan yang diberikan nanti dan ingatlah kepada Allah swt, mohonlah keredhaan dan keberkatan dari individu sekeliling kita terutama Ibu Bapa, Pensyarah dan sahabat2 seperjuangan yang berada disamping kita. Suka duka itu adalah lumrah hidup, tetapi kita yang mencoraknya ke arah yang lebih positif. Akhir sekali, jaga kesihatan rohani dan jasmani kalian.

Salam Perjuangan Buat Teman-teman.

Wassalamualaikum,
Fasihah.

Template by:
Free Blog Templates